Penggerak

Bismillahhirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu,

Syukur Alhamdullillah, setinggi tinggi kepujian kehadrat Allah swt, atas Rahmat dan Kasih SayangNya dapat kita sekali lagi bersama-sama sebagai sebuah keluaraga SMTM untuk meneruskan tugas, amanah dan tanggungjawab   mendidik anak bangsa.

2016 menandakan bermulanya Gelombang Kedua (2016 – 2020) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM 2013 – 2025 ) . Matlamat utama Gelombang Kedua adalah untuk memacu peningkatan sistem.  Sebagai guru kita perlu sentiasa mempersiap dan menyesuaikan diri dengan persekitaran pendidikan yang sentiasa berubah. Penyesuaian diri dengan sistem yang baru akan memastikan fungsi dan peranan kita sebagai pendidik akan sentiasa kekal dan di perlukan.

Mendidik anak bangsa merupakan agenda besar negara. Matlamat pendidikan adalah untuk memastikan modal insan dapat dibimbing, dididik dan diasuh sebagai persiapan untuk mereka mengisi pembangunan negara pada masa akan datang. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai pendidik amat besar. Amanah dan tanggungjawab ini perlu kita tunaikan sebaik mungkin untuk memastikan pendidikan yang berkualiti dapat kita berikan kepada semua pelajar.

Beberapa pencapaian yang telah kita peroleh sepanjang 2018 membuktikan bahawa sekolah kita tidak ketandusan bakat sama ada dari kalangan pelajar mahupun guru. Pencapaian dalam bidang akademik dan  kokurikulum dapat membantu meningkatkan motivasi pelajar. Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk memastikan pencapaian yang lebih baik untuk tahun 2019.

Kapada semua pelajar, selamat kembali ke sekolah. Terus tingkatkan usaha untuk menghadapi 2019 dengan azam dan semangat yang baru. Tiada jalan singkat untuk memperoleh kejayaan, usaha yang berterusan tanpa jemu, memohon kepada Allah, hormat kepada ibu bapa dan guru, insyaAllah kejayaan akan menjadi milik kamu. Kami sebagai pendidik, pembimbing dan pengasuh akan sentiasa ada untuk kamu.

Kepada semua rakan-rakan ibu bapa, terima kasih atas segala sokongan yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Adalah diharapkan kerjasama yang telah sedia terjalin akan menjadi lebih akrab dan kita sama-sama dapat berganding bahu untuk memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak kita. Pihak sekolah sangat berbesar hati dengan segala idea, saranan dan cadangan dari ibu bapa yang dapat menambah baik pencapaian sekolah. Kami juga memohon kerjasama rakan-rakan ibu bapa agar dapat sama-sama memantau perkembangan anak-anak kita.

Kita mempunyai harapan dan impian untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada masa akan datang. Kejayaan tidak akan datang dengan mudah, perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama yang betul. Semua pihak mesti menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas. Pihak sekolah akan sentiasa berganding bahu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memastikan program-program yang telah dirancang dapat dilaksanakan. Kita juga akan sentiasa menjalin kerjasama yang erat dengan komuniti setempat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta Alumni.

Semua pihak mesti saling bantu-membantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Potensi dan bakat yang ada dalam kalangan pelajar mesti digilap. Kerjasama dan perpaduan adalah kunci kepada kejayaan. Teruskan berusaha dan berserah kepada Allah, mudah-mudahan 2019 akan menjadi tahun yang cemerlang untuk seluruh warga SMT Melaka.

Selamat Maju Jaya

“Mendidik Daripada Hati Penuh Integriti”

HAJI KARIM BIN TUMIN
Pengetua