Perutusan Pengetua

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera,

Syukur Alhamdullillah, setinggi tinggi kepujian kehadrat Allah swt, atas Rahmat dan Kasih SayangNya dapat kita sekali lagi bersama-sama sebagai sebuah keluaraga SMTM untuk meneruskan tugas, amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Mendidik anak bangsa merupakan tugas dan tanggungjawab utama semua guru. Matlamat pendidikan adalah untuk memastikan modal insan dapat dibimbing, dididik dan diasuh sebagai persiapan untuk mereka mengisi pembangunan negara pada masa akan datang. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai pendidik amat besar. Amanah dan tanggungjawab ini perlu kita tunaikan sebaik mungkin untuk memastikan pendidikan yang berkualiti dapat kita berikan kepada semua murid.

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi mata pelajaran elektif Teknikal (MPET) di SMT secara berperingkat-peringkat akan bermula di tingkatan 4 pada tahun 2020. Ini merupakan satu cabaran bagi untuk menguasai pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran agar kita sentiasa relevan dengan keperluan pengajaran. Penekanan kepada Pendidikan Abad ke 21 harus diberikan tumpuan. Guru perlu kreatif dan inovatif dalam mengolah pengajaran dan pembelajaran agar ilmu yang disampaikan dapat difahami dan digunakan oleh
murid.

Kita mempunyai harapan dan impian untuk menjadi institusi sekolah yang berjaya dan cemerlang. Pencapaian akademik yang meningkat dari tahun ketahun menunjukkan kita berada dilandasan yang betul untuk mengapai impian berkenaan. Kejayaan tidak akan datang dengan mudah, perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama yang betul. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggilap bakat dan potensi yang ada dalam kalangan murid. Kemenjadian murid bukan hanya diukur melalui pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata, sahsiah dan akhlak yang terpuji menjadi prasyarat untuk cemerlang dalam erti kata yang sebenar. Pembentukan sahsiah dan akhlak terpuji boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang oleh pihak sekolah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan hasrat falsafah pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat dicapai.

Untuk memastikan perancangan sekolah sepanjang 2020 dapat dilaksanakan, semua pihak mesti saling bantumembantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kerjasama dan perpaduan adalah kunci kepada kejayaan. Teruskan berusaha dan berserah kepada Allah, mudah-mudahan 2020 akan menjadi tahun yang lebih cemerlang untuk seluruh warga SMT Melaka.

Selamat Maju Jaya


“Mendidik Daripada Hati Penuh Integriti”
Saya yang menjalankan amanah.


HJH. JALIAH BTE ABU

PENGETUA
SM TEKNIK MELAKA.